Keutamaan ‘Umar al-Khaththab al-Faruq
Beliau ialah Abu Hafs ‘Umar bin al-Khaththab al-Faruq al-Quraisy al-‘Adawi al-Madani Amir al-Mukminin. Antara yang awal memeluk Islam dan salah seorang dari 10 orang sahabat yang dijanjikan masuk syurga. Beliau juga ialah salah seorang dari khalifah al-Rasyidin yang empat dan menjadi mertua kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. ‘Umarradhiallahu 'anh juga merupakan salah seorang dari ulama’ besar di kalangan para sahabat serta sangat terkenal dengan kezuhudan, ahli ibadat dan keberaniannya. ‘Umar juga merupakan menteri kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di samping Abu Bakar al-Siddiqradhiallahu ‘anh. Beliau merupakan orang ketiga yang dikebumikan diRaudhah di samping Rasulullah dan Abu Bakar.
‘Umar dilahirkan 13 tahun sesudah lahirnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam . Pada zaman jahiliyah beliau merupakan salah seorang dari pemimpin atau pembesar Quraisy serta menjadi duta mereka. Dikatakan, apabila terjadi permasalahan yang bersangkutan dengan diplomasi maka ianya diserahkan kepada ‘Umar. Jika terjadi peperangan di antara kabilah, maka ‘Umar akan diutus sebagai orang tengah.
Apabila Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam diutus sebagai seorang Rasul, ‘Umar terkenal di kalangan mereka sebagai yang paling kejam penyiksaannya ke atas kaum Muslimin. Namun disebabkan hidayah Allah Subhanahu wa Ta'ala ‘Umar memeluk Islam hasil doa Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam supaya agama Islam dikuatkan menerusi beliau. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَم بِعُمَر أَوْ بِعَمْرِو بْن هِشَام.
Ya Allah, muliakanlah agama Islam ini dengan orang yang paling Engkau cintai di antara kedua orang ini, iaitu ‘Umar (bin al-Khaththab) atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal).
Setelah Allah menghendaki kebaikan untuk ‘Umar al-Khaththab, beliau datang bertemu dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di Dar al-Arqam bagi menyatakan keislamannya. Kaum Muslimin sekaliannya berasa amat gembira dengan keislaman ‘Umar dan beliaulah orang yang pertama menyatakan keislamannya secara terang-terangan di khalayak ramai. Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh diriwayatkan berkata:
Islamnya ‘Umar adalah suatu kemenangan besar, hijrahnya adalah keuntungan dan kepimpinannya adalah rahmat. Saya melihat sendiri bagaimana kami tidak mampu melakukan solat di Baitullah sebelum ‘Umar menyatakan keislamannya. Tatkala ‘Umar masuk Islam, dia menyatakan perang kepada mereka (kaum Quraisy) sehingga mereka membiarkan kami melakukan solat dengan bebas.
‘Umar, sebagaimana Abu Bakar al-Siddiq, tidak pernah memisahkan dirinya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau turut serta mengikuti seluruh peperangan bersama mereka berdua seperti peperangan Badar, Uhud, Khandak, Bai‘ah Ridhwan, Khaibar, pembebasan Kota Mekah dan peperangan Tabuk. ‘Umar terkenal sebagai seorang yang sangat tegas dalam urusan agama Allah dan terhadap orang kafir serta golongan munafik. ‘Umar termasuk di kalangan sahabat yang diredhai Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda wafat.
al-Nawawi rahimahullah (676H) di dalam kitabnya Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat berkata:
Mereka bersepakat tentang banyaknya ilmu ‘Umar, mendalamnya kefahamannya, bersangatan zuhud serta tawadu’nya, sangat mengasihi kaum Muslimin di samping sikap ketegasan dan kebenarannya, mengikuti dengan sepenuhnya jejak-langkah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamserta amat memberikan perhatian terhadap kemaslahatan kaum Muslimin. Kemuliaannya terkenal di kalangan ahli keutamaan dan kebaikan manakala ciri-ciri kebaikannya sangat banyak untuk diteliti dan diambil iktibar.
Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh pernah berkata: “Dengan wafatnya ‘Umar maka hilanglah sembilan persepuluh ilmu.” Ini merupakan pandangan yang masyhur di kalangan Salaf al-Soleh.
‘Umar juga merupakan antara yang terawal berhijrah ke Madinah mendahului Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. al-Barra’ bin ‘Azibradhiallahu ‘anh berkata:
Orang yang pertama kali datang kepada kami dari kalangan Muhajirin adalah Mus‘ab bin ‘Umair, kemudian Ibn Ummi Makhtum, kemudian ‘Umar al-Khaththab dengan rombongan dua puluh orang yang menaiki kenderaan. Kami berkata: “Apa yang sedang dilakukan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam saat ini?” ‘Umar berkata: “Dia sedang berada di belakangku.” Kemudian datanglah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Bakar radhiallahu ‘anh.
‘Ali radhiallahu ‘anh berkata:
Saya tidak mengenal seorangpun yang melakukan hijrah melainkan dia akan melakukannya secara sembunyi, kecuali ‘Umar al-Khaththab. Ketika beliau akan berhijrah, dia menyandang pedangnya serta busur panahnya dan memegang beberapa anak panah di tangannya. Dia mendatangi Kaabah ketika orang Quraisy berada di halamannya. Dia melakukan tawaf sebanyak 7 kali serta menunaikan solat di maqam Ibrahim. Kemudian dia mendatangi kelompok Quraisy tersebut satu demi satu sambil berkata: “Wahai wajah-wajah yang tidak bersinar, barangsiapa yang ingin ibunya kehilangan anak, anaknya menjadi yatim, isterinya menjadi janda, maka hendaklah ia menemuiku di belakang lembah ini.” Namun tiada seorangpun dari mereka yang mengikutinya.
‘Umar al-Khaththab termasuk di kalangan sahabat yang berjaya mencapai keutamaan yang sempurna di dalam agama sebagaimana Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu ‘anh. Sesungguhnya terdapat banyak kebaikan dan kekhususan yang dikhususkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'alakepadanya dan tidak kepada orang lain. Di antaranya adalah seperti berikut:
1 Islamnya ‘Umar Membawa Kekuatan Serta Kemuliaan Kepada Islam
Apabila Allah ingin menguat serta memberikan kemuliaan kepada agama Islam maka Allah memberikan hidayah-Nya kepada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa: Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah satu dari dua orang yang engkau cintai dengan Abu Jahal atau ‘Umar al-Khaththab.
Maka Allah memperkenankan doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana ‘Umar memeluk Islam. Dengan Islamnya beliau maka agama Allah serta kaum Muslimin sekaliannya menjadi lebih kuat dari sebelumnya.
‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anh berkata: “Kami menjadi kuat sejak Islamnya ‘Umar.” Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas: “Ianya merujuk kepada bertambahnya kekuatan serta keteguhan melaksanakan segala titah perintah Allah Subhanahu Wa Taala.”
2 Keluarnya Segala Belenggu Dari Hati ‘Umar
Ketika ‘Umar memeluk Islam maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan memukul dada beliau sebanyak 3 kali sambil berdoa:
الله اللَّهُمَّ أَخْرِجْ مَا فِي صَدْرِ عُمَرَ مِنْ غِلٍّ وَأَبْدِلْهُ إِيْمَاناً.
Ya Allah, keluarkanlah segala belenggu yang ada pada hati ‘Umar dan gantikanlah ianya dengan iman.
Tidak diragukan bahawa doa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallamdiperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka keluarlah segala belenggu-belenggu yang ada pada hati ‘Umar sehingga penuhlah dadanya dengan keimanan, kasih sayang serta keikhlasan terhadap sekalian kaum Muslimin. Ini menggentarkan golongan Yahudi, Nasrani, Majusi serta orang-orang kafir yang lainnya disebabkan kehebatan yang ada pada beliau.
3 ‘Umar Dikurniakan Ilham
Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan kebenaran pada diri ‘Umar. Tidak ada sesuatu perkara yang terjadi kepada para sahabat lalu mereka berpendapat dengan sesuatu, sedangkan ‘Umar berpendapat sesuatu yang lain, melainkan turun wahyu Allah yang membenarkan pendapat ‘Umar. Ini tidak lain kerana ilham yang dikurniakan Allah ke dalam hatinya yang penuh dengan kebenaran.
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لَقَدْ كَانَ فِيمَا قَبْلَكُمْ مِنْ الأُمَمِ مُحَدَّثُونَ فَإِنْ يَكُ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ فَإِنَّهُ عُمَرُ. (وفي رواية): لَقَدْ كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ رِجَالٌ يُكَلَّمُونَ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَكُونُوا أَنْبِيَاءَ فَإِنْ يَكُنْ مِنْ أُمَّتِي مِنْهُمْ أَحَدٌ فَعُمَرُ.
Demi sesungguhnya di antara orang-orang sebelum kalian terdapat sejumlah manusia yang mendapat ilham. Apabila salah seorang daripada umatku mendapatkannya maka ‘Umarlah orang itu. (Di dalam riwayat lain): Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian dari Bani Israel ada yang diberikan ilham sekalipun mereka bukan Nabi, jika salah seorang dari umatku mendapatkannya, maka ‘Umarlah orangnya.
Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ. وَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: مَا نَزَلَ بِالنَّاسِ أَمْرٌ قَطُّ فَقَالُوا فِيهِ وَقَالَ فِيهِ عُمَرُ أَوْ قَالَ ابْنُ الْخَطَّابِ فِيهِ شَكَّ خَارِجَةُ إِلاَّ نَزَلَ فِيهِ الْقُرْآنُ عَلَى نَحْوِ.
Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran melalui lidah ‘Umar dan hatinya. Ibn ‘Umar melanjutkan: Tidak ada suatu perkarapun yang terjadi kepada manusia, lalu mereka berpendapat seperti ini, sedangkan ‘Umar (juga dikenali sebagai Ibn al-Khaththab) berpendapat lain, kecuali akan turun ayat al-Qur’an yang membenarkan pendapat ‘Umar.
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh berkata: Apabila disebut tentang orang-orang salih, terbayang di fikiran kami tentang ‘Umar. Kami para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah merasa ragu bahawa ketenangan itu terucap dari lisan ‘Umar.
4 Pendapat ‘Umar Sesuai Dengan Firman Allah
Di antara keutamaan yang ada pada beliau ialah kerapkali ‘Umar berpendapat tentang sesuatu hal, maka turunlah ayat al-Qur’an yang membenarkan pendapat beliau itu. Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tentang keutamaan ini:
Pertama:
‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan, tatkala ‘Abd Allah bin Ubay mati, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diminta oleh anaknya untuk mensolatkannya dan memohon ampun untuknya. Lalu Rasulullah berdiri untuk mensolatkannya. ‘Umar bangkit dan berkata: “Bukankah Allah melarang kami mensolatkan orang munafiqin?” Rasulullah menjawab: “Saya memilih antara dua kebaikan, sama ada memohon ampun untuk mereka atau tidak memohon ampun untuk mereka. Maka Rasulullah bersolat ke atas ‘Abd Allah bin Ubay. Maka Allah menurunkan ayat:
وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ
Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka). [al-Taubah 9:84] Maka setelah itu Rasulullah tidak mensolatkan beliau.
Kedua:
Anas bin Malik radhiallahu 'anh menerangkan bahawa ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh berkata, Pendapatku bersesuaian dengan kehendak Allah dalam tiga perkara:
Pertama, saya pernah berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, andaikata kita menjadikan maqam Ibrahim sebagai tempat solat. Kedua, saya katakan kepada Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam: “Ya Rasulullah! Orang yang baik dan buruk perangainya masuk ke dalam rumah isteri-isterimu, alangkah baiknya jika engkau perintahkan mereka untuk berhijab.” Kemudian turunlah ayat hijab. Dan ketiga, para isteri Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam berkumpul kerana dilanda rasa cemburu. Maka saya katakan semoga Allah menceraikan kamu semua dan Dia menggantikannya dengan isteri-isteri yang lain yang lebih baik dari kamu semua. Lalu turunlah firman Allah tentang hal ini:
عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا
Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara. [al-Tahrim 66:05]
Ketiga:
Setelah selesainya Perang Badar, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepada Abu Bakar al-Shiddiq dan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anhuma tentang apakah yang sepatutnya dilakukan kepada para tawanan perang. ‘Umar berpendapat bahawa mereka patut dibunuh. Pendapat ‘Umar adalah benar kerana setelah itu Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan ayat:
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأرْضِ
Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. [al-Anfal 8:67]
Keempat:
‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh menerangkan, tatkala turunnya ayat yang mengharamkan arak, dia berdoa: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah ayat:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar.” [al-Baqarah 2:219] ‘Umar berdoa lagi: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah ayat yang terdapat dalam surah al-Nisa’:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk. [al-Nisa’ 4:43] …… ‘Umar berdoa lagi: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah ayat:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu tidak mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? [al-Maidah 5:91]
Merujuk kepada firman Allah: “Oleh itu tidak mahukah kamu berhenti?” , ‘Umar berkata: “Kami berhenti!”
Demikianlah beberapa ayat al-Qur’an yang menunjukkan selarinya pendapat ‘Umar dengan ayat yang diturunkan di dalam al-Qur’an. Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) di dalam Fath al-Bari menyatakan ada 15 pendapat ‘Umar yang bersesuaian dengan ayat al-Quran. al-Suyuthirahimahullah (911H) di dalam Tarikh al-Khulafa berkata ada 20 pendapat ‘Umar yang bersesuaian dengan ayat al-Quran.
5 Syaitan Takut Kepada ‘Umar Serta Melarikan Diri Daripadanya
Di antara keutamaan ‘Umar yang menonjol ialah syaitan takut serta melarikan diri mereka apabila berhadapan dengan beliau. Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِيهًا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ سَالِكًا فَجًّا قَطُّ إِلاَّ سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ.
Wahai Ibn al-Khaththab, demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman tangan-Nya, tidaklah syaitan menemuimu sedang berjalan di suatu jalan kecuali dia akan mencari jalan lain yang tidak engkau lalui.
Berkata al-Nawawi rahimahullah ketika mengulas hadis di atas:
Hadis ini difahami secara zahir dimana apabila syaitan melihat ‘Umar melalui satu jalan, ia melarikan diri bertempiaran ke mana sahaja menjauhi ‘Umar kerana ketakutan yang bersangatan daripada keberanian ‘Umar – seandainya dia melakukan sesuatu kepadanya.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menambah:
Di dalamnya terkandung keutamaan ‘Umar yang amat agung sehinggakan syaitan tidak akan berjalan pada jalan yang dilalui olehnya. Ini tidak lain disebabkan pemeliharaan yang tinggi yang ada pada dirinya, ……menunjukkan serta keteguhan, kebenaran serta kejujurannya di dalam memelihara agama.
Maka hadis di atas jelas menunjukkan kemuliaan yang terdapat pada ‘Umar radhiallahu ‘anh dimana para syaitan takut serta melarikan diri daripadanya. Namun kemuliaan yang terdapat pada dirinya tidak sekali-kali mengatasi kemuliaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana tuduhan yang diperbuat oleh golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang menggunakan hadis di atas bagi menolak keutamaan ‘Umar.
6 Kuatnya Agama Dan Keimanan ‘Umar
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُ النَّاسَ يُعْرَضُونَ عَلَيَّ وَعَلَيْهِمْ قُمُصٌ مِنْهَا مَا يَبْلُغُ الثُّدِيَّ وَمِنْهَا مَا دُونَ ذَلِكَ وَعُرِضَ عَلَيَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَعَلَيْهِ قَمِيصٌ يَجُرُّهُ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الدِّينَ.
“Pada suatu ketika aku sedang tidur bermimpi melihat orang banyak yang ditunjukkan kepadaku. Mereka memakai baju gamis; maka dari baju-baju gamis itu ada yang sampai pada dada, ada yang sampai di bawah itu. Dan diperlihatkan kepadaku ‘Umar bin al-Khaththab dan padanya baju gamis yang diseretnya.” Sahabat bertanya: “Apakah takwilnya itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Agamanya.”
Hadis di atas menunjukkan kelebihan serta kemuliaan yang nyata pada ‘Umar dimana beliau telah berhasil mencapai keutamaan yang sempurna di dalam agama. Ibn Abi Jamrah radhiallahu ‘anh berkata:
Yang dimaksudkan ‘orang banyak’ di dalam hadis tersebut adalah orang-orang mukmin, sebab pentakwilan Rasulullah ‘baju’ gamis ditakwilkan dengan makna ‘agama’. Beliau berkata lagi: Yang jelas bahawa yang dimaksudkan adalah pengkhususan kepada sebahagian ummat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sahaja. Sedangkan yang dimaksudkan ‘agama’ adalah mengamalkannya sesuai dengan kaedah-kaedahnya, seperti kecenderungan yang sangat tinggi melakukan segala perintah dan menjauhi segala larangan. Sedangkan ‘Umar al-Khaththab di dalam hal ini menduduki kedudukan yang teratas. ……Telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang oleh ‘Uqbah bin Amir radhiallahu ‘anh dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sekiranya ada Nabi selepasku maka ‘Umar al-Khaththablah orangnya.
7 ‘Umar Mewarisi Ilmu Rasulullah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِقَدَحِ لَبَنٍ فَشَرِبْتُ مِنْهُ حَتَّى إِنِّي لأَرَى الرِّيَّ يَخْرُجُ مِنْ أَظْفَارِي ثُمَّ أَعْطَيْتُ فَضْلِي يَعْنِي عُمَرَ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الْعِلْمَ.
“Pada suatu ketika aku sedang tidur aku bermimpi diberi segelas susu, maka aku meminumnya sehingga sungguh aku merasakan kesegaran mengalir pada kuku-kukuku, kemudian sisanya aku berikan kepada ‘Umar.” Sahabat bertanya: “Apakah takwilnya itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ilmu pengetahuan.”
Berdasarkan hadis di atas, pemberian susu ke atas ‘Umar menunjukkan apa yang akan perolehi oleh ‘Umar dari ilmu pemberian Allah, manakala penafsiran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa susu dikaitkan dengan ilmu menunjukkan ‘Umar tidak akan mengambil selain dari al-Qur’an, al-Sunnah dan ilmu Nabi yang diperolehinya tanpa perantaraan orang lain. Kaitan antara susu dengan ilmu menunjukkan banyaknya manfaat serta kebaikan yang ada pada kedua-duanya dimana susu merupakan makanan kepada jasmani manakala ilmu merupakan makanan kepada rohani. Yang dimaksudkan dengan ilmu adalah ilmu yang berhubung dengan siasah atau politik pemerintahan. Ianya dikhususkan kepada ‘Umar kerana tempoh pemerintahannya yang panjang dari Abu Bakar al-Siddiqdan manusia pula bersepakat di dalam mentaatinya berbanding dengan ‘Utsman.
Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh berkata: “Andaikata ilmu ‘Umar diletakkan pada satu piring timbangan dan ilmu seluruh manusia diletakkan pada piring timbangan yang lainnya maka timbangan ‘Umar akan jauh lebih berat.” Beliau menambah: “Sesungguhnya kami mengira sembilan belas jenis ilmu yang hilang pada hari wafatnya ‘Umar.”
8 ‘Umar Diberi Khabar Gembira Menjadi Penghuni Syurga
Termasuk keutamaan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh adalah beliau diberi khabar gembira oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamsebagai penghuni syurga. Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي فِي الْجَنَّةِ فَإِذَا امْرَأَةٌ تَتَوَضَّأُ إِلَى جَانِبِ قَصْرٍ. فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لِعُمَرَ. فَذَكَرْتُ غَيْرَتَهُ فَوَلَّيْتُ مُدْبِرًا فَبَكَى عُمَرُ وَقَالَ: أَعَلَيْكَ أَغَارُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟
Pada suatu ketika aku tidur, aku melihat diriku ada di dalam syurga. Lalu ada seorang wanita sedang berwuduk di samping sebuah istana, maka aku bertanya: “Istana siapakah ini?” Jawab mereka: “Untuk ‘Umar.” Lalu aku teringat pada kecemburuannya dan aku pun kembali. Mendengar sabda baginda itu ‘Umar menangis seraya berkata: “Apakah kepadamu aku cemburu, wahai Rasulullah?”
9 ‘Umar Diberi Khabar Gembira Akan Gugur Syahid
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyampaikan berita gembira kepada ‘Umar bahawa beliau akan hidup dalam keadaan terpuji serta mati sebagai seorang syuhada’ dan dikurniakan rezeki yang menyejukkan hatinya di dunia serta di akhirat. Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melihat ‘Umar memakai sebuah baju berwarna putih. Baginda bertanya: “Adakah baju engkau ini baju baru atau baju lama yang sudah dibasuh?” ‘Umar berkata: “Aku tidak tahu apa jawapan yang patut aku berikan.” Lalu Nabi bersabda:
الْبَسْ جَدِيدًا وَعِشْ حَمِيدًا وَمُتْ شَهِيدًا وَيَرْزُقُكَ اللَّهُ قُرَّةَ عَيْنٍ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ.
Pakailah baju baru, hiduplah dalam puji-pujian, matilah sebagai seorang syahid dan Allah akan memberikan rezeki kepada engkau apa yang menyejukkan hati engkau di dunia serta akhirat.
Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas dimana ‘Umar sememangnya telah melalui suatu kehidupan yang terpuji dan Allah mengakhiri kehidupannya dengan gugur syahid. Ia juga merupakan doa yang dipohon oleh ‘Umar pada saat akhir pemerintahannya. Aslamradhiallahu ‘anh berkata bahawa ‘Umar berdoa:
اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ.
Ya Allah, kurniakanlah hamba gugur di jalan-Mu sebagai syahid dan jadikanlah kematian hamba di negara Rasul-Mu.
10 Kesempurnaan Kecintaan ‘Umar Kepada Rasulullah
‘Abd Allah bin Hisyam radhiallahu ‘anh berkata:
Suatu ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan baginda ketika itu sedang memegang tangan ‘Umar al-Khaththab. ‘Umar berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, engkau lebih aku kasihi dari segala-galanya kecuali diriku sendiri.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
لاَ! وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ.
“Tidak! Demi jiwaku berada ditangan-Nya (engkau tidak akan dapat kesempurnaan iman) sehingga aku engkau kasihi lebih daripada dirimu sendiri.” Berkata ‘Umar kepada baginda: “Sekarang, Demi Allah, engkau lebih kukasihi dari diriku sendiri.” Nabi menjawab: “Sekarang, wahai ‘Umar (engkau adalah orang beriman sebenarnya)”
11 Rasulullah Wafat Dalam Keadaan Meredhai ‘Umar
Termasuk ciri-ciri keutamaan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anhadalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat dalam keadaan meredhai beliau. Berkata ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh kepada ‘Umar sebelum beliau wafat setelah ditikam:
Wahai Amirul Mukminin, bukankah engkau sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang selalu mengiringinya dan engkau telah berbuat baik dalam persahabatan dengannya. Kemudian engkau berpisah dengannya dalam keadaan baginda redha terhadapmu. Setelah itu engkau menjadi sahabat setia Abu Bakar hingga engkau berpisah dengannya dalam keadaan dia redha terhadapmu. Kemudian engkau bergaul dengan sahabat-sahabat mereka dengan baik, maka jika engkau meninggalkan mereka, mereka akan redha terhadapmu.
12 ‘Umar Penghalang Kepada Fitnah
Di antara kelebihan ‘Umar adalah beliau seorang penghalang kepada berlakunya fitnah, laksana sebuah pintu. Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anh berkata:
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَيُّكُمْ يَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْفِتْنَةِ؟ قَالَ قُلْتُ: أَنَا أَحْفَظُهُ ...... فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَالْمَعْرُوفُ. قَالَ: لَيْسَ هَذِهِ أُرِيدُ وَلَكِنِّي أُرِيدُ الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ قُلْتُ: لَيْسَ عَلَيْكَ بِهَا يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ بَأْسٌ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابٌ مُغْلَقٌ. قَالَ: فَيُكْسَرُ الْبَابُ أَوْ يُفْتَحُ؟ قَالَ قُلْتُ: لاَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ: فَإِنَّهُ إِذَا كُسِرَ لَمْ يُغْلَقْ أَبَدًا. قَالَ قُلْتُ: أَجَلْ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنْ الْبَابُ فَقُلْنَا لِمَسْرُوقٍ سَلْهُ قَالَ فَسَأَلَهُ فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.
‘Umar radhiallahu 'anh bertanya: “Siapakah di antara kalian yang menghafal hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang fitnah?” Berkata Huzaifah: “Saya menghafalnya …… fitnah yang menimpa seseorang kerana keluarga, anak dan jiran tetangganya yang dapat dihapuskan dengan solat, sedekah dan perkara ma’ruf (serta mencegah kemungkaran).” ‘Umar berkata: “Bukan itu yang aku maksudkan, akan tetapi fitnah laksana gelombang lautan.”
Huzaifah menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, engkau tidak akan terkena fitnah itu, sebab terdapat pintu yang tertutup antara dirimu dengan fitnah tersebut.” “Apakah pintu itu dirosak ataukah ianya dibuka?” tanya ‘Umar. “Pintu itu dirosakkan.” jawab Huzaifah. “Jika ianya dirosakkan maka ia tidak akan tertutup selama-lamanya.” sambung ‘Umar. “Benar!” sambung Huzaifah pula.
Kami rasa kami tahu siapakah pintu yang dimaksudkan maka kamipun bertanya kepada Masruq: “Tanyakanlah (kepada Huzaifah).” Maka diapun bertanya, Huzaifah menjawab: “Pintu itu ialah ‘Umar.”
Dalam sebuah riwayat yang lain Abu Dzar radhiallahu ‘anh berkata,Pada suatu hari aku bersama-sama dengan ‘Umar al-Khaththab dan aku memegang tangannya dengan kuat sambil berkata: “Wahai kunci kepada fitnah!” ‘Umar berkata: “Apa itu kunci fitnah?” Aku berkata: “Pada suatu hari telah datang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda duduk di sisi orang ramai dan aku duduk di penghujung mereka. Rasulullah bersabda:
لاَ تُصِيْبُكُمْ فِتْنَةٌ مَا دَامَ هَذَا فِيْكُمْ.
Tidak akan menimpa ke atas diri kamu fitnah selagi mana adanya orang ini di sisi kamu (‘Umar al-Khaththab)
‘Umar merupakan pintu tertutup yang menghalang daripada fitnah. Ini tidak lain kerana bersangatan kekuatan dirinya membasmi segala bentuk kemungkaran, kemunafikan serta segala sesuatu yang akan melemahkan iman pada zaman pemerintahannya. Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh mengulas:
Sesungguhnya ‘Umar merupakan kota yang kuat ke atas Islam. Manusia akan masuk dan tidak akan keluar dari kota tersebut. Sejahtera bagi sesiapa yang berada di dalamnya, dan bagi sesiapa yang keluar daripadanya maka dia tidak akan masuk pula ke dalamnya.
13 Perlantikan ‘Umar Sebagai Khalifah Sesudah Abu Bakar
‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh dilantik menjadi khalifah pada hari kewafatan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh. Ketika sakitnya Abu Bakar yang membawa kepada kewafatannya, para sahabat di kalangan Muhajirin serta Ansar masuk menemuinya lalu dia berkata kepada mereka: “Katakan kepadaku apa pendapat kamu tentang ‘Umar?” Maka berkata salah seorang dari mereka dari kalangan Ansar iaitu Usaid bin Hudairradhiallahu ‘anh: “Saya tahu bahawa dia adalah orang terbaik setelah engkau. Dia rela untuk satu hal yang baik dan akan marah dengan satu hal yang wajib dibenci.” Kemudian Abu Bakar memanggil ‘Utsman radhiallahu ‘anh dan berkata, tulislah:
Bismillahirrahmanirrahim, inilah apa yang diwasiatkan oleh Abu Bakar bin Abu Quhafah di akhir hidupnya di dunia di saat akan keluar darinya, dan awal hidupnya diambang akhirat…Sesungguhnya saya menetapkan ‘Umar sebagai khalifah atas kamu sekaliannya setelah saya meninggal. Maka dengar dan taatilah dia. Saya telah melakukan yang terbaik kepada Allah, Rasul dan agamanya dan kepada kamu sekalian serta saya sendiri. Maka jika dia berlaku adil, itulah yang saya harapkan dan yang saya ketahui tentang dirinya. Namun jika dia berubah, maka setiap orang akan menanggung apa yang dia lakukan. Sedangkan saya menginginkan hal yang baik, namun saya tidak tahu hal yang ghaib. Dan orang-orang yang melakukan kezaliman akan tahu ke mana mereka akan dikembalikan…wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Kemudian Abu Bakar menyuruh ‘Utsman untuk menuliskannya dan mengesahkannya dengan cop mohor lalu menyuruhnya keluar dengan membawa kertas wasiat yang telah diberi cop mohor itu. Abu Bakar kemudiannya memanggil ‘Umar sendirian lalu memberikan nasihat kepadanya. Setelah selesainya segala urusan, Abu Bakar berdoa sambil berkata:
Ya Allah, saya telah menjatuhkan pilihanku untuk kesejahteraan kaum Muslimin dan dengan harapan untuk menghilangkan fitnah yang mungkin muncul di antara mereka. Mengenai apa yang saya lakukan, Engkaulah yang paling mengetahuinya. Setelah melakukan pertimbangan yang sebaik-baiknya saya telah memilih orang yang saya anggap paling mengikuti jalan yang lurus. Perintah-Mu telah dikeluarkan dan saya amanahkan semuanya itu kepada-Mu. Mereka adalah hamba-Mu dan semuanya berada di dalam genggaman Tangan-Mu. Ya Allah, jagalah pemimpin mereka agar berjalan di jalan yang lurus dan saya bermohon kepada-Mu jadikanlah penggantiku sebagai khalifah yang mendapat petunjuk dan memberikan kedamaian.
Sesungguhnya perlantikan ‘Umar al-Khaththab sebagai khalifah menggantikan Abu Bakar merupakan perkara yang disepakati para sahabat sekaliannya. Sejak itu banyaklah jasa ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anhdalam menegakkan agama serta memerintah dunia dengannya. Semasa hayat beliau Negara Islam Madinah berjaya membuka beberapa wilayah sehingga ke Iraq, Jazirah serta Iran. Begitu juga tentera-tentera Islam di zamannya berjaya membuka Parsi, Baitul Maqdis, Palestin, Mesir, Armenia, Azerbaijan, Khuzastan serta banyak wilayah lain di negeri Syam.
‘Umar juga melakukan beberapa pembaharuan dalam pemerintahannya, antaranya beliaulah khalifah pertama yang bergelar Amir al-Mukminin, pertama kali membuat kalendar berdasarkan tahun Hijriyah, mengumpulkan manusia untuk solat Tarawih berjemaah, orang yang pertama kali mengelilingi Madinah pada malam hari bagi mengawal rakyatnya, yang pertama kali membuat kota-kota, menempatkan para Qadhi dan sebagainya.
14 ‘Umar Gugur Syahid
Abu Lu’luah (أبو لؤلؤة) seorang hamba kepada al-Mughirah bin Syu’bah yang berbangsa Parsi serta beragama Majusi menemui ‘Umar mengadu tentang sesuatu. Lalu ‘Umar membuat keputusan tentang pengaduannya tetapi dia merasa tidak puas hati dan marah di atas keputusan tersebut. Maka beliau menuju ke masjid serta bersembunyi di salah satu sudutnya di dalam kegelapan. Dia terus berada di situ sehingga ‘Umar membangunkan orang ramai untuk menunaikan solat Subuh, maka ketika ‘Umar telah dekat dengannya, Abu Lu’luah menikamnya dengan 3 kali tikaman menggunakan pisau besar yang bermata dua serta beracun. Maka dengan tikaman itu wafatlah ‘Umar setelah tiga hari. Maka benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberikan penyaksian baginda di atas syahidnya ‘Umar al-Khaththab: “Kehidupannya terpuji dan matinya sebagai seorang syahid.”
Amir al-Mukminin ‘Umar radhiallahu ‘anh wafat pada akhir bulan Zulhijjah tahun 23 hijrah ketika umurnya 63 tahun. Beliau dikebumikan di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta Abu Bakar al-Siddiq setelah menjadi khalifah selama 10 tahun 5 bulan serta 21 hari. Setelah meninggalnya beliau maka berkumpullah enam orang sahabat utama ahliSyura untuk melantik penggantinya iaitu: ‘Utsman, ‘Ali, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, al-Zubair, Talhah serta Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu ‘anhumsebagaimana termaktub di dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim.
15 Anak-Anak ‘Umar
Anak-anak ‘Umar radhiallahu ‘anh adalah ‘Abd Allah, ‘Ubaid Allah, ‘Asim, Zaid al-Sughra, Umm al-Mukminin Hafsah iaitu isteri Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam serta Fatimah radhiallahu ‘anhum.
وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى
Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat. [al-Baqarah: 2:125]